Pertandingan Berbalas Pantun Rancangan Panjang Akal TV3

berbalas-pantun-melayu
Pantun Adat
Dihujung selat bertiup bayu,
Teratai dikolam tampak serinya;
Dikandung adat budaya Melayu,
Dicemar susila mana manisnya?
— Pantun dijual oleh wakil warisan Selangor
Pantun Adat, Nasihat
Sinis surya dipersada meriah,
Tatkala camar memainkan rabab;
Manis budaya pada maruah,
Susila yang cemar dipulihkan adap.
— Pantun dibeli oleh wakil warisan Melaka
Pantun Adat
Rejang menuding belukar nan kelam,
Pelepah bidara bergalang malap;
Bijak berunding luar dan dalam,
Indah bicara dimana silap?
— Pantun dijual oleh wakil warisan Melaka
Pantun Adat, Nasihat
Buah bidara di dalam kaca,
Serai seikat di pangkal bertemu;
Salah bicara bukanlah punca,
Hanya mufakat belum di temu.
— Pantun dibeli oleh wakil warisan Selangor

Pantun Seloka Sindiran Karya Khadijah Hashim

pantun-seloka-pantun-jenaka-lawak-gembira
Pantun seloka sindiran
Bubur nangka bubur cempedak,
Dihidang sama cucur badak;
Turun tangga sambil berbedak,
Ada yang kena ada yang tidak!
Pantun seloka sindiran
Rambutan condong menunggu rebah,
Buahnya lebat jangan dikerat;
Malas bergerak lambat berubah,
Hilang kilat nampak berkarat!
Pantun seloka sindiran
Di petang hari memasang lukah,
Lukah dipasang usah dijaga;
Setiap tahun tetap ke Mekah,
Hati kotor tak bersih juga,
Pantun seloka sindiran
Ikan semilang ikan bilis,
Ikan sardin dipanggil tuna;
Harta hilang mengadu ke polis,
Maruah hilang mengadu ke mana?
Pantun seloka sindiran
Jeruk petai pedas berlada,
Pedas lagi sambalnya kupang;
Tamu umpama si paku Belanda,
Datang bertandang terus menumpang!
Khadijah hashim

Pantun Seloka Sindiran ini di petik dari 808 Pantun Baru diterbitkan oleh "K" Publishing, Kuala Lumpur pada tahun 1997 karya Khadijah Hashim.

Pantun Melayu Brunei dari petikan Syair Rajang

Pantun Melayu Brunei, Syair Rajang
Kala tidur di bawah dulang,
Dulang berisi buah-buahan;
Supaya selamat kakanda pulang,
Mengadap ingsun emas tempawan.
Pantun Melayu Brunei, Syair Rajang
Dulang berisi buah-buahan,
Ambar kesturi harum terlebih;
Menghadap ingsun emas tempawan,
Membawa persembah sebarang oleh.
Pantun Melayu Brunei, Syair Rajang
Ambar kesturi harum terlebih,
Pakaian konon perdana menteri;
Membawa persembah sebarang oleh,
Sebentuk cincin pemanis jari.
Pantun Melayu Brunei, Syair Rajang
Dibawa naik mengadap sultan,
Harun Al-Rashid raja sempurna;
Ikatan emas permata intan,
Kepada adinda sebarang guna.
Pantun Melayu Brunei, Syair Rajang
Harun Al-Rashid raja sempurna,
Adil dan murah tiada terkira;
Kepada adinda sebarang guna,
Hidup dan mati tiadaku lupa.
Hj. Brahim bin Ampuan Hj. Tengah

Pantun dalam bentuk Syair Melayu Brunei ini dipetik dari Syair Rajang : Penyelenggaraan Dan Analisis Teks diterbitkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka Brunei pada tahun 2005 nukilan Prof. Madya Ampuan Dr. Hj. Brahim bin Ampuan Hj. Tengah.

Pantun Teka-Teki — Makan Kuat, Kenyangnya Tidak?

pantun-teka-teki-melayu-makan-kuat-kenyang-tidak
Pantun teka-teki
Pisau lipat dimainnya kera,
Tangannya luka lalu terjun;
Makan kuat tidak terkira,
Kenyangnya tidak tahi bertimbun?
— Pantun Teka-teki[1] di jual oleh Abu Syafie Mnoor pada Sep 26, 2011 08:43.
Suku kata: 10-9-9-10, Pangkal: ra-un-ra-un, Tengah: at-ka--at-ak
Pantun teka-teki
Makan kuat tidak terkira,
Kenyangnya tidak tahi bertimbun;
Makan sesaat membakar para,
Kenyangnya api dimalap embun.
Pantun dibeli oleh Nuar Haruha pada Sep 28, 2011 12:14.
Pantun teka-teki
Menyinar tapi tidak berseri,
Menyinsih retak pohon meranti;
Resamnya api memakan diri,
Kenyangnya tidak memberi erti.
Pantun dibeli oleh Nuar Haruha pada Sep 28, 2011 12:14.

Rujukan

  1. Pantun Teka-teki dipetik dari Teka-teki Warisan, Teks Publishing, Kuala Lumpur karya Prof Madya Inon Shaharuddin Abd Rahman pada 1988

Dua tiga kucing berlari karya al-lavendari

pantun-melayu-dua-tiga-kucing-berlari

Pantun "Dua tiga kucing berlari" amat di kenali di kalangan masyarakat kaum Melayu nusantara di Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Malah ia telah popularkan dalam nyanyian rakyat yang digubah dari pantun Melayu dalam nyanyian lagu Dondang sayang dan Rasa sayang.

Pantun Melayu
Dua tiga kucing berlari,
Manalah sama si kucing belang;
Dua tiga boleh dicari,
Manalah sama adik seorang
Puisi Melayu Lama: Pantun Dan Syair, Sastera Bahasa Pendidikan (Sasbadi Sdn. Bhd) himpunan koleksi oleh Mohd. Tajuddin Hj. Abdul Rahman & Othman Puteh, 1990.
Suku kata: 8-10-8-10, Pangkal: ri-ng-ri-ng, Tengah: ga-ma-ga-ma

Dua tiga kucing berlari karya al-lavendari, 2009

pantun-melayu-dua-tiga-kucing-berlari-ikang

Pantun seloka berikut yang mempunyai pembayang yang sama telah digubah menggunakan bahasa Melayu pantai timur semenanjung.

Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing belang;
Patutlah pung bini mu benci,
Asyik berjalang, lupa nak makang.
Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing belang;
Patutlah pung kawang mu lari,
Badan mu habis berbau ikang.
Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing belang;
Mula-mula makang, macam tak sudi,
Bila dah makang, habis lima pinggang.
pantun-melayu-al-lavendari

Pantun seloka kenegerian ini sumbangan oleh saudara al-lavendari dari blog pantun beliau Puisi orang tak reti — Dua tiga kucing berlari.

Khazanah Pantun Melayu Riau karya Tenas Effendy

Khazanah Pantun Melayu Riau karya Tenas Effendy
Pantun Melayu Riau, berkasih sayang
Walau bulan tidak mengambang,
Pelita kami tetap menyala;
Walaupun tuan tidak memandang,
Cinta dihati tetap membara.
Pantun Melayu Riau, kasih berkenalan
Tiang rumah kayu meranti ,
Baik diukur agak sedepa;
Abang sudah malu menanti ,
Adik ditegur tidak menyapa.
Suku kata: 9-10-9-10, Pangkal: an-ti-an-ti, Tengah: ah-ur-ah-ur
Pantun Melayu Riau, kasih nasihat sindiran
Tengok-tengok menarik jaring,
Kerana jaring talinya panjang;
Elok-eloklah adik menjeling,
Kerana dijeling hatiku bimbang.
Suku kata: 9--10-10-11, Pangkal: an-ng-an-ng, Tengah: ik-ng-ik-ng

Pantun Baba Nyonya Balada Cinta Muzik Dondang Sayang

pantun baba nyonya dondang sayang

Dondang Sayang merupakan sejenis balada cinta Melayu nyanyian peranakan Melayu tradisional dari kaum Baba Nyonya yang berasal dari Melaka.

Secara literasinya, dondang sayang bermaksud "menyanyi dengan kasih sayang". Uniknya, nyanyian ini digabungkan dengan pantun Melayu. Acara berbalas pantun ini, di lakukan secara spontan, bertemakan keriangan dan kasih sayang.

Nyanyian-nyanyian biasanya diiringi oleh empat orang ahli muzik yang terdiri daripada; seorang pemain biola, dua orang pemain rebana Melayu, dan seorang pemain tawak.

Pantun Baba, Nyanyian Dondang Sayang - 1931

pantun baba dondang sayang
Pantun Baba, Dondang Sayang
Deri Daik ka Indragiri,
Prau mengisi bras pulot;
Baik baik mengator titi,
Sepaya lanting dapat di sangkot.
Pantun Baba, Dondang Sayang
Naday bugis tolak blayar,
Tengah laot patah kemudi-nya;
Hutang budi dapat di bayer,
Hutang hati apa ganti-nya.
Pantun Baba, Dondang Sayang
Tengah laot patah kemudi,
Layar koyak di pukol angin;
Hutang hati membawak mati,
Sebagi bola di pukol angin .

Bergendang Mukun Berbalas Pantun — Seni Warisan Asli Budaya Melayu Sarawak

pantun sarawak Bergendang bermukun Seni Warisan Asli Budaya Melayu Sarawak

Bergendang atau lebih dikenali dengan gelaran bermukun ialah khazanah tradisi budaya dan kesenian masyarakat Melayu & Melanau Sarawak.

Dalam aktiviti bergendang, terdapat tiga elemen penting iaitu; Dendangan (Seh Gendang), Menopeng dan Bertandak. Selain itu, terdapat juga elemen-elemen lain seperti kereografi, zapin dan alat muzik tambahan seperti akordian, gong dan biola.

Dendangan Irama Bermukun

Bagi acara berbermukun atau berbalas pantun ini, nyanyian pantun bertukar mengikut kemahiran Seh gendang dan penggesek biola. Kebiasannya, irama itu berdasarkan pembayang maksud pantun tersebut. Pantun warisan melayu Sarawak dahulu mempunyai irama yang di sebut; Labuan, Menyubuh, Asam Paya, Samsudin, Air Amboi, Selendang Mayang, Bintang Beralih, Sayang Serawak, Bercerai Kasih, Air Pasang dan Lela Majnun.

Pantun Sarawak, Nyanyian Irama Bergendang

pantun sarawak Bergendang bermukun Seni Warisan Asli Budaya Melayu Sarawak
Pantun Melayu asli Sarawak bermukun
Bukan mukun sebarang mukun,
Mukun kamek berisi beras;
Bukan pantun sebarang pantun,
Pantun kamek minta dibalas.
Pantun Melayu asli Sarawak — Dandan Beranyut
Tuntung dian tuntung pelita,
Hendak menyuluh si batang sirih;
Berperang dandan dengan dewa,
Kerana merebut intan terpilih.
Pantun Melayu asli Sarawak; Dandan Beranyut dari Syair Kitab Tajul Muluk.
Pantun Melayu asli Sarawak — Labuan
Sayang Labuan Pulo di laut,
Khabar berita pulo yang tumbuh;
Salam mu tuan saya menyambut,
Asal rahsia disimpan teguh.
Pantun Melayu asli Sarawak - irama Labuan
Pantun Melayu asli Sarawak — Asam paya
Asam paya buah di hutan,
Dalam sepompong masak sebiji;
Sungguh kacak wajahmu tuan,
Dalam kampung payah dicari.
Pantun Melayu asli Sarawak - irama Asam Paya

Pantun Melayu Peranakan Cina Karya Lee Chee Lin

Pantun Melayu Peranakan, Baba Nyonya
Dari Gangsa pergi Krubong,
Singga ka Tualang merentang tali;
Putus menang bolay di sambong,
Pata arang putus skali.
Pantun Melayu Peranakan, Baba Nyonya
Pecha buyong tempayan ada,
Bolay jugak buat basoh kaki;
Trebang tiong bayan ada,
Bolay jugak mengibor hati.
Pantun Melayu Peranakan, Baba Nyonya
Bua bachang sangka kwini,
Sapu tangan isi lada;
Tidak di sangka jadi bergini,
Angkat tangan urut dada.

Pantun Nasihat & Sindiran Karya Harun Mat Piah

Pantun Nasihat Karya Harun Mat piah
Pantun nasihat, sindiran
Kain basah dibubuh tajin,
Ambil tali panjang sekaki;
Jikalau tidak usaha rajin,
Di manakah kita mendapat rezeki.
Suku kata: 9-9-10-12, Pangkal: in-ki-in-ki, Tengah: ah-li-ak-ta
Pantun nasihat, sindiran
Apalah guna asam paya,
Kalau tidak menggulai ikan;
Apa guna lagak dan gaya,
Kalau bahasa tidak dihiraukan.
Suku kata: 8-9-8-11, Pangkal: ya-an-ya-an, Tengah: na-ak-na-sa
Pantun nasihat, sindiran
Kalau tuan merendang telur,
Jangan lupa telur yang masin;
Kalau tuan sudah masyhur,
Jangan lupa keluarga yang miskin.
Suku kata: 9-10-8-10, Pangkal: ur-in-ur-in, Tengah: an-pa-an-pa
Pantun nasihat, sindiran
Berbelok di Tanjung Beringin,
Kemudi patah dilentur;
Elok orang hati tak ingin,
Budi bahasa hatiku hancur.
Suku kata: 9-8-9-9, Pangkal: in-ur-in-ur, Tengah: ng-ah-ng-sa

Pantun Seloka Sindiran - Pinggan tak retak Nasi tak dingin nukilan al-lavendari

Pantun Seloka Sindiran - Pinggan tak retak Nasi tak dingin

Dari pepatah Melayu perumpamaan kata bidalan "Ibarat pinggan tak retak, nasi tak dingin" membawa maksud sama-sama tak sudi atau dalam ertika lain bermaksud sesuatu perkara yang tidak di persetujui.

Pantun nasihat sindiran kekecewaan
Pinggan tak retak, nasi tak dingin,
Engkau tak hendak — aku tak ingin.
— Pantun dipetik dari Persuratan Melayu 2: Puisi, Qalam Press Singapura pada 1961 karya Syed Abdullah Abd Hamid al-Edrus (A.H. Edrus).
Pantun Seloka Sindiran
Pantun Seloka Sindiran
Pinggan tak retak, nasi tak dingin;
Hidung penuh bedak, rumah tak de cermin.
Pantun seloka sindiran dijual oleh al-lavendari pada Aug 29, 2009 08:00.
Suku kata: 8-8-8-8, Pangkal: an-ab-an-ab, Tengah: ab-an-ab-an
Pantun Seloka Sindiran
Pinggan tak retak, nasi tak dingin;
Macha duit tarak, nak beli cermin.
Pantun seloka sindiran al-lavendri dibeli oleh Nuar Haruha pada Sep 19, 2011.
Suku kata: 8-8-8-8, Pangkal: an-ab-an-ab, Tengah: ab-an-ab-an
Pantun Seloka Sindiran
Pinggan tak retak, nasi tak dingin;
Muka macam budak, perangai macam Jin.
Suku kata: 8-8-8-8, Pangkal: an-ab-an-ab, Tengah: ab-an-ab-an

Pantun Nasihat Sindiran - Bukit Lagi Bintang Berkarang karya Wan Khazim

bukit lagi bintang berkarang karya wan hazim pantun nasihat sindiran bahasa merdeka
Pantun nasihat sindiran
Berputih tulang sikap hulubalang,
Demi pertahan warisan pusaka;
Bahasa kita kian menghilang,
Sanggupkah Melayu berputih mata?
Pantun nasihat sindiran
Dari hilir mudik berempat,
Orang berdagang ke Inderagiri;
Jangan dibiar bahasa merempat,
Sebagai pendatang di negara sendiri.
Pantun nasihat sindiran
Dinihari keluar bersiar,
Indahnya desa bulan purnama;
Apa peduli bahasa terbiar,
Pangkat dan harta lebih utama.
Pantun nasihat sindiran
Hendak ke seberang jalan berliku,
Buluh sedepa dibuat joran;
Keadaan sekarang memang begitu,
Gila harta mengejar gelaran.
Pantun nasihat sindiran
Ambil rebung pokok di hutan,
Batang pinang dibuat lantai;
Tika menyabung kokok bersahutan,
Ayam menang hutang tak langsai.

Pantun Nusantara bertemakan Bahasa ini di petik dari Bukit Lagi Bintang Berkarang diterbitan oleh Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada tahun 2006karya Wan Khazim & Muhammad Haji Salleh (Editor)

Puisi Melayu Tradisional Nasihat dan Pengajaran karya Harun Mat Piah

Pantun nasihat budi
Akar keladi melilit selasih,
Selasih tumbuh di hujung taman;
Kalungan budi junjungan kasih,
Mesra kenangan sepanjang zaman.
Pantun nasihat sindiran
Anak itik pandai menari,
Anak angsa terlompat-lompat;
Rupa cantik dapat dicari,
Budi bahasa mana nak dapat.
Pantun nasihat budi
Ambil selasih di puan lama,
Hitung lidi di tengah jalan;
Adinda kasih saya terima,
Hutang budi berbulan-bulan.
Pantun nasihat budi
Ambilkan saya buah delima,
Masak sebiji di balik daun;
Budi tuan saya terima,
Jadi kenangan bertahun-tahun.

Melestarikan Pantun dan Syair Melayu karya Syarif Abdul Kadir Zein

pantun melayu sujud sembahyang
Pantun Nasihat Keagamaan
Patah dahan patah pelepah,
Ditiup angin pohonnya rebah;
Tiada tuhan yang wajib disembah,
Tiada yang lain selain Allah.
Pantun Nasihat Keagamaan
Burung merpati terbang tinggi,
Membawa surat bersampul merah;
Hamba bersaksi di dalam hati,
Nabi Muhammad Rasul Allah.
Pantun Kasih
Buah keranji di dalam peti,
Buah anggur subur tumbuhnya;
Abang berjanji sehidup semati,
Dalam kubur kita berdua.

Setaman Pantun Kenangan Majlis Pertunangan & Perkahwinan

Setaman Pantun Kenangan
Pantun Majlis Pertunangan dan Perkahwinan, Setaman Pantun Kenangan
Pantun Nusantara
Masuk ke kota waktu malam,
Terbau harum bunga dahlia;
Bismillah kata pembuka kalam,
Assalamualaikum majlis mulia?
Pantun Pertunangan dan Perkahwinan
Daun nilam dibasuh bersih,
Lepas disejat menjelang petang;
Waalaikumussalam terima kasih,
Apa hajat rombongan yang datang?
Pantun Majlis Pertunangan dan Perkahwinan
Bawa jerami muatan sendat,
Singgah di beting tepian laman;
Datang kami kunjung beradat,
Ingin menyunting bunga di taman
Udara nyaman di subuh hari
Embun menitik di jala bersirat,
Lepas disejat menjelang petang;
Bunga di taman kembang berduri,
Hendak memetik harus bersyarat.
Pantun Majlis Pertunangan dan Perkahwinan
Buah pauh lebat di batang,
Mana nak sama buah kuini;
Dari jauh kami datang,
Menurut saja adat di sini.

Pantun Teka-Teki Warisan

pantun teka-teki, malay riddles
Pantun Teka-teki
Kalau tuan pergi ke hutan,
Bawalah bersama parang sebilah;
Kalau pandai tekalah tuan,
Anak raja mandi tak basah.
Pantun Teka-teki
Kelip-kelip kusangka api,
Anak kerbau mati terjalar;
Tut! Tut! Tut! Ia berbunyi,
Badannya panjang umpama ular.
Pantun Teka-teki
Anak kerbau mati terjalar,
Anak kerbau yang sangat malang;
Badannya panjang umpama ular,
Keretapi ramai penumpang.
— Pantun Teka-teki dibeli oleh iznanaziz pada Apr 17 2006, 12:29.
Pantun Teka-teki
Gendang gendut tali kecapi,
Ikan bakar ikan cencaru;
Tut! Tut! Tut! bunyi keretapi,
Dari Alor Setar ke Johor Bahru.
— Pantun Teka-teki dibeli oleh Jun Kazama pada Sep 12 2011, 22:03.
Pantun Teka-teki
Saya ini orang Sarawak,
Datang ke sini naik perahu;
Kalau tuan sungguh bijak,
Apa ikan yang mudik dulu?
Pantun Teka-teki
Saya pun orang dari Sarawak,
Datang naik kapal "Seludu";
Kalau tuan sungguh memintak,
Kepala ikanlah yang mudik dulu.

Pantun Menyambut Tetamu

pantun singapura - selamat datang, pantun menyambut tetamu
Pantun Pantun Selamat Datang
Buanglah rokok buang selama,
Sirih adat tinggal-tinggalan;
Bismillahirrahmanirrahim ucapan utama,
Selamat datang ucapan susulan.
Pantun Pantun Selamat Datang
Mangga pauh dari permatang,
Disirat dengan akar beluru;
Dari jauh tentuan datang,
Mendoa restui pengantin baru.
Pantun Pantun Selamat Datang
Ayam selasih di permatang,
Ayam denak hidup di hutan;
Terima kasih tentuan datang,
Budimu kekal dalam ingatan.
Pantun ini dipetik dari Majlis Bahasa Melayu Singapura, (Angkatan Sasterawan 50, Singapura) karya Muhammad Arif Ahmad (Mas) pada tahun 2003.

Serangkaian Pantun Kedah

Pantun Kedah, Tunggu Padi Jemoq Serangkaian Pantun Kedah
Pantun Kedah
Suku kata: 9-10-9-10, Pangkal: an-di-an-ri, Tengah: oq-ak-ok-ya
Kuala Aloq ke Kubang Rotan,
Buaya merangkak di dalam padi;
Kalau elok oghang bekenan,
Kalau kaya lagi oghang cari.
Pantun Kedah
Suku kata: 9-9-10-11, Pangkal: ot-ng-ut-ng, Tengah: aq-ek-ng-ng
Tenang-tenang ayaq di laot,
Sampan kolek mudek ke Tanjong;
Hati terkenang mulot tersebut,
Budi yang baek rasa nak junjong.
Pantun Kedah
Suku kata: 11-14-10-9, Pangkal: ri-ri-ti-ci, Tengah: at-oq-ek-at
Ongatlah ingat pikiaq sehari,
Di dalam kuboq kita dudok seoghang diri;
Kalau baek malaikat hormati,
Kalau jahat malaikat benci.
Pantun Kedah
Suku kata: 9-9-10-11, Pangkal: oq-ng-oq-ng, Tengah: eh-ok-eh-ia
Limau maneh asam gelugoq,
Dari pokok jatoh melayang;
Mayat menageh di dalam kuboq,
Kerana di dunia tidak sembahyang.

Pantun dipetik dari Tunggu Padi Jemoq : Serangkaian Pantun Kedah karya Sasterawan Negara Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, kompilasi di kumpul oleh Ramli M.I dan diterbitkan oleh Universiti Sains Malaysia pada tahun 2006.

Pantun Kasih - Tiada Lagi Tinta & Air Mata

Pantun Kasih - Tiada Lagi Tinta dan Airmata
Pantun Cinta Berkasih Sayang
Janganlah aku kau beri tinta,
Bila tiada lembar ikatannya;
Janganlah pula kau ucap cinta,
Bila tiada kesudahannya.
Pantun Cinta Berkasih Sayang
Sungguh kemuning mudahlah musnah,
Pupus bunganya tiada tertahan;
Sungguh hatiku mudahlah patah,
Pupuslah cinta hampalah harapan.
Pantun Cinta Berkasih Sayang
Bila kusalah membeli tinta,
Nasihat aku bagaimana menuai;
Bila kusalah dalam bercinta,
Nasihat aku bagaimana memulai.

Pantun Ramadhan Berlalu Karya Al-lavendari

Pantun Ramadhan Berlalu
Pantun Pantun
Suku kata: 10-8-10-12, Pangkal: ta-an-ta-an, Tengah: ah-an-ah-an
Jalan di lembah menuju kota,
Tangkap ikan buat bekalan;
Ramadhan sudah meninggalkan kita,
Moga pengajaran menjadi amalan.
Pantun Pantun
Suku kata: 10-9-9-10, Pangkal: ur-ng-ur-ng, Tengah: a-u-a-u
Di waktu senja menanam sayur,
Pokok labu tanam sebatang;
Pohonkan doa panjangkan umur,
Moga ketemu Ramadhan mendatang.
Pantun Perayaan & Nasihat dijual oleh al-lavendri pada Sep 6, 2011 16:08.
Pantun Ramadhan Berlalu
Pantun karya al-lavendri bertemakan perayaan (Ramadhan) dan nasihat. Gaya bahasa, susunan rima asonansi setiap baris ayat pantun dari pangkal & tengah sangat padat dan harmonis. Kami tertarik dengan penggunaan simbolik pembayang yang digunakan.
Di waktu senja menanam sayur,
Pokok labu tanam sebatang;

Kata kiasan melayu "Di waktu senja" simboliknya jelas di kaitkan dengan masa atau dalam artikata lain "Masa yang mungkin suntuk, di penghujung hari — hayat/umur seseorang yang meningkat".

Pohonkan doa panjangkan umur,
Moga ketemu Ramadhan mendatang.

Sekali lagi repitisi masa & waktu di beri penekanan dalam bait ayat; "panjangkan umur".

Penyudah, di ringkaskan "Jika umur dah lanjut mohon doa dipanjangkan usia supaya dapat berjumpa lagi".

Pantun Perayaan ini sumbangan Saudara al-lavendari dari puecorgxret.blogspot.com.

Picture source: Going to Work (farmer with his oxens) - James Chong, 2011

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Penafian (Disclaimer)

Segala penulisan, pantun & gambar yang disiarkan adalah nukilan & buah fikiran penulis sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak berkepentingan. Penulis tidak mempunyai niat untuk memburuk-burukkan mana-mana pihak sama ada yang hidup atau yang telah meninggal dunia. Sekiranya terdapat kesamaan di mana-mana bahagian blog ini, penulis memohon kemaafan kerana ia tidak disengajakan.

Sekian, terima kasih. Pantun Melayu — Yang Indah itu Bahasa (cc) 2008 - 2013