Halaman

Puisi Melayu Tradisional Nasihat dan Pengajaran karya Harun Mat Piah

Pantun nasihat budi
Akar keladi melilit selasih,
Selasih tumbuh di hujung taman;
Kalungan budi junjungan kasih,
Mesra kenangan sepanjang zaman.
Pantun nasihat sindiran
Anak itik pandai menari,
Anak angsa terlompat-lompat;
Rupa cantik dapat dicari,
Budi bahasa mana nak dapat.
Pantun nasihat budi
Ambil selasih di puan lama,
Hitung lidi di tengah jalan;
Adinda kasih saya terima,
Hutang budi berbulan-bulan.
Pantun nasihat budi
Ambilkan saya buah delima,
Masak sebiji di balik daun;
Budi tuan saya terima,
Jadi kenangan bertahun-tahun.

Pantun Nasihat
Anak Cina mengirim surat,
Dari Jawa sampai ke Deli;
Hidup kita dikandung adat,
Budi tidak dijual beli.
Pantun nasihat sindiran
Bukan tanah menjadi padi,
Kalau jadi hampa melayang;
Bukan bangsa menanam budi,
Kalau tanam cuma terbuang.
Pantun nasihat sindiran
Bunga Cina di atas batu ,
Jatuh daunnya ke dalam ruang;
Adat dunia memang begitu,
Sebab emas budi terbuang.
Pantun nasihat budi
Anak merak di kampung Cina,
Cari makan di kepala titi;
Emas perak kebesaran dunia,
Budi yang baik dibawa mati.
Pantun nasihat sindiran
Anak itik matinya lemas,
Makan lenggundi di Bukit Askin;
Hilanglah bahasa kerana emas,
Tak nampak budi kerana miskin .
Pantun nasihat budi
Anak itik berenang balik,
Menyelam takut akan lemas;
Kalau ada budi yang baik,
Saya tidak memandang emas.
Pantun nasihat sindiran
Anak Cina pergi berjudi,
Judi mari di tanah seberang;
Percuma saya menabur budi,
Budi tidak dikenang orang.
Pantun nasihat budi
Anak Cina memburis wangkang,
Tengah laut patah kemudi;
Kalau ada bulan dan bintang,
Kami tiada lupakan budi.
Pantun nasihat budi
Ada satu panglima barat,
Matanya merah rupanya jahat;
Tanggungan budi jikalau berat,
Baik segera balaskan cepat.
Pantun nasihat budi
Ambil galah jolok remenia,
Kait mari sampai berdiri;
Kita hidup di atas dunia,
Buat baik taburkan budi.

Pantun nasihat dan pengajaran ini dipetik dari Puisi Melayu Tradisional: Nasihat dan Pengajaran di terbitkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur pada tahun 2004 karya Prof Madya Dr. Harun Mat Piah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan