Pertandingan Berbalas Pantun Rancangan Panjang Akal TV3

berbalas-pantun-melayu
Pantun Adat
Dihujung selat bertiup bayu,
Teratai dikolam tampak serinya;
Dikandung adat budaya Melayu,
Dicemar susila mana manisnya?
— Pantun dijual oleh wakil warisan Selangor
Pantun Adat, Nasihat
Sinis surya dipersada meriah,
Tatkala camar memainkan rabab;
Manis budaya pada maruah,
Susila yang cemar dipulihkan adap.
— Pantun dibeli oleh wakil warisan Melaka
Pantun Adat
Rejang menuding belukar nan kelam,
Pelepah bidara bergalang malap;
Bijak berunding luar dan dalam,
Indah bicara dimana silap?
— Pantun dijual oleh wakil warisan Melaka
Pantun Adat, Nasihat
Buah bidara di dalam kaca,
Serai seikat di pangkal bertemu;
Salah bicara bukanlah punca,
Hanya mufakat belum di temu.
— Pantun dibeli oleh wakil warisan Selangor

Pantun Adat
Terbang tinggi si burung enggang,
Patah sayapnya jatuh di desa;
Kalau sirih tak pulang ke gagang,
Mana hilangnya budaya sebangsa?
— Pantun dijual oleh wakil warisan Selangor
Pantun Adat, Nasihat
Cindai diraih berlenggang nak helang,
Diraih angsa menggigal gerangan;
Kalau sirih ke gagang tak pulang,
Budaya bangsa tinggal kenangan.
— Pantun dibeli oleh wakil warisan Melaka
Pantun Adat
Memerah sena senduduk ditetak,
Merah terbenam merajuk kesumba;
Indah terbina pondok teratak,
Mengapa diam diceruk rimba?
— Pantun dijual oleh wakil warisan Melaka
Pantun Adat, Nasihat
Kembara merantau berlayar perlahan,
Berhenti rombongan di Indragiri;
Rimba nan hijau jadi pilihan,
Mencari ketenangan insafi diri.
— Pantun dibeli oleh wakil warisan Selangor
Pantun Adat
Embun menitik penyeri maya,
Udara tenang segar berhembus;
Kalau keris lekuk ukirnya,
Mengapa bebayang menjadi lurus?
— Pantun dijual oleh wakil warisan Selangor
Pantun Adat, Nasihat
Terguris pungguk melayang tirus,
Nanar buluh sedih cendana;
Keris berkeluk bebayang lurus,
Sinar penyuluh ditindih gerhana.
— Pantun dibeli oleh wakil warisan Melaka
Pantun Adat
Putik kenangan berseri di anjung,
Menyapa pandan di muka pintu;
Putik berbunga lagi sejantung,
Mengapa setandan ranumnya satu.
— Pantun dijual oleh wakil warisan Melaka
Pantun Adat, Nasihat
Harum berbau di dalam puan,
Hantaran memikat menggoda hati;
Ranumnya satu terpesong haluan,
Lantaran sepakat tiada di hati.
— Pantun dibeli oleh wakil warisan Selangor

Pantun di petik dari Rancangan Panjang Akal terbitan TV3 pada Jul 27, 1998. Peringkat akhir diantara wakil warisan Selangor dan warisan Melaka.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Penafian (Disclaimer)

Segala penulisan, pantun & gambar yang disiarkan adalah nukilan & buah fikiran penulis sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak berkepentingan. Penulis tidak mempunyai niat untuk memburuk-burukkan mana-mana pihak sama ada yang hidup atau yang telah meninggal dunia. Sekiranya terdapat kesamaan di mana-mana bahagian blog ini, penulis memohon kemaafan kerana ia tidak disengajakan.

Sekian, terima kasih. Pantun Melayu — Yang Indah itu Bahasa (cc) 2008 - 2013