Pantun penutup tahun 2011 Yang Indah itu Bahasa

Bagi menutup tirai pentas Pantun Melayu di tahun ini setiap penulis dan penyumbang tetap diajukan soalan.

Secara peribadi, apa yang bermain di fikiran anda sepanjang tahun ini?

Syarat

  • Tidak lebih dari delapan sukukata.
  • Setiap baris kata awal bermula dengan perkataan "Yang".
  • Rima pangkal U-N-U-N.
  • Tema ironi kehidupan dan realiti.
  • Bersertakan huraian pendek, padat dan tiada unsur politik.

Pantun Melayu, 2011 — Nuar H.

Yang sedetik berlalu,
Yang setapak kehadapan,
Yang berhenti kaku,
Yang melangkah kedukaan.
"Umur; setiap saat ia bergerak - tidak akan berhenti, di saat ia berhenti -- berakhirlah satu kehidupan."—
Suku kata: 7-8-6-8, Pangkal: lu-an-ku-an, Tengah: ik-ak-ti-ah

Pantun Melayu, 2011 — Sri Mersing

Yang ditusuk kalbu,
Yang ditikam perasaan,
Yang terduduk malu,
Yang berdiri kemegahan.
"Nafsu & emosi, melangkaui akal & batas segala tingkah laku" —
Suku kata: 6-8-6-8, Pangkal: bu-an-lu-an, Tengah: uk-am-uk-ri

Pantun Melayu, 2011 — June Hj Jamil (Jun)

Yang diam membisu,
Yang bicara kesunyian,
Yang kembang layu,
Yang pudar tujuan.
"Seseorang yang pandai berkata-kata, walau dengan tujuan, tanpa tumpuan & perlaksanaan, tak kemana jua; Procrastinator" — June
Suku kata: 6-8-5-6, Pangkal: su-an-yu-an, Tengah: am-ra-ng-ar

Pantun Melayu, 2011 — Su Suhaila (Susu)

Yang silap pintu,
Yang dalam perjalanan,
Yang dihitung waktu,
Yang dinanti penyesalan.
Tiada seorang pun yang merancang untuk gagal dalam kehidupan; sebaliknya gagal dalam membuat perancangan." — Susu
Suku kata: 5-7-6-8, Pangkal: tu-an-tu-an, Tengah: ap-am-ng-ti

Pantun Melayu, 2011 — Takbir Alam

Yang berazam baru,
Yang mimpikan kenyataan,
Yang berzaman dahulu,
Yang masih dipersoalkan.
"Manusia yang sukarela masuk ke dalam kotak, dan kemudian dipaksa berfikir keluar dari kotak; realitinya adalah sebaliknya. Ironi realiti mencari penyelesaian" — Takbir Alam
Suku kata: 6-8-7-8, Pangkal: ru-an-lu-an, Tengah: am-an-am-ih

Pantun Melayu, 2011 — Kakcik Seroja

Yang pergi berlalu,
Yang datang kemudian,
Yang sepi terkaku,
Yang riang diraikan.
"Menunjukkan bahawa orang yang tidak bersuara tetap akan diketepikan dan yang menonjolkan diri itulah yang diketengahkan." —
Suku kata: 6-7-6-7, Pangkal: lu-an-ku-an, Tengah: gi-ng-pi-ng

Pantun Melayu, 2011 — al-lavendari

Yang datang baru,
Yang pergi ingatan,
Yang menangis aku,
Yang ketawa syaitan.
Suku kata: 5-6-6-6, Pangkal: ru-an-ku-an, Tengah: ng-gi-is-wa
"Pada malam tahun baru nanti akan ada acara-acara yang membuatkan saya menangis dan membuatkan syaitan ketawa. Harap menjadi peringatan kepada semua jangan mengulangi kesilapan lalu." —

Terima Kasih

Kami di Pantun Melayu, Mengharapkan perubahan,
Selamat tahun baru, Kami ucapkan —
Jumpa lagi di tahun hadapan …

editorial pantun melayu

Pantun Melayu — Yang Indah itu Bahasa
— Sri Mersing, Nuar H. Noah, June, Susu, Avice D., Takbir Alam.

Some rights reserved (cc) 2011 Pantun Melayu — Yang Indah itu Bahasa CC-BY-SA 2.5 (Malaysia).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Penafian (Disclaimer)

Segala penulisan, pantun & gambar yang disiarkan adalah nukilan & buah fikiran penulis sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak berkepentingan. Penulis tidak mempunyai niat untuk memburuk-burukkan mana-mana pihak sama ada yang hidup atau yang telah meninggal dunia. Sekiranya terdapat kesamaan di mana-mana bahagian blog ini, penulis memohon kemaafan kerana ia tidak disengajakan.

Sekian, terima kasih. Pantun Melayu — Yang Indah itu Bahasa (cc) 2008 - 2013