Pantun Kiasan dari Koleksi pantun dondang sayang Bertemakan Intan

pantun-dondang-sayang-intan

Dondang Sayang atau disebut juga Dendang Sayang oleh orang Melaka membawa dua pengertian, bila disebut berdendang bermakna bernyanyi untuk bersuka-suka atau menghibur hati. Apabila disebut sayang akan membawa erti kasih iaitu melakukan dengan geraklaku yang lembut dan penuh mesra.

Dari dua pengertian di atas maka bolehlah didefinasikan Dondang Sayang atau Dendang Sayang itu Lagu Kasih atau Nyanyian Kasih. Ini bermakna nyayian Dondang Sayang merupakan satu media atau satu cara untuk menyampaikan isi hati si penyanyi dengan lembut dan penuh mesra.
Hj. Mohd Yassin Ahmad, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia, 2004.

Himpunan Pantun Dondang sayang bertemakan Intan (Kiasan)

Pantun Dondang sayang
Mengail ikan di Pasir Putih,
Batas padi jadi sempadan;
Emas dan intan tetap dipilih,
Hanya menjadi hiasan badan.
Pantun Dondang sayang
Buluh perindu tidak berdahan,
Cendana pula tidak berdaun;
Tak semua batu menjadi intan,
Walaupun lama membilang tahun.

Pantun Dondang sayang
Jual rotan dipekan Gemas,
Rotan dibawa dari seberang;
Ada intan bingkaikan emas,
Mana tercampak tidak terbuang.
Pantun Dondang sayang
Ambil benang jahit kelingkan,
Hendak menjahit baju baru;
Bukan senang menilai intan,
Ke kedai tukang baru ku tahu.
Pantun Dondang sayang
Dari Bentan pergi ke Daik,
Singgah bermalam di pekan Sengarang;
Kalau dah asal intan yang asal,
Di mana tercampak cahayanya terang.
Pantun Dondang sayang
Songket merah benang ditenun,
Tenun mari orang Kelantan;
Jika bertuah batu digunung,
Berhajat juga menjadi intan.
Pantun Dondang sayang
Daripada hujan baiklah panas,
Senang kita menjemur padi;
Dari intan baiklah emas,
Senang kita berjual beli.
Pantun Dondang sayang
Pergi memburu di dalam hutan,
Senapang ditembak tidak meletup;
Kalau itu niatmu tuan,
Baik disimpan perak bercelup.
Pantun Dondang sayang
Dari Perak pergi ke Kukup,
Singgah Gemas membeli rotan;
Saya tak hendak perak bercelup,
Biarlah emas bertatahkan intan.
Pantun Dondang sayang
Ikan sepat anak belotan,
Campur dengan anak tenggiri;
Dari buntat dah jadi intan,
Intan bergelar payung negeri.
Pantun Dondang sayang
Dimakan mentrah buah berangan,
Bila digoreng rasa tak sama;
Barang yang murah dihina jangan,
Nampak buruk bertahan lama
Pantun Dondang sayang
Menjaring ikan dibulan terang,
Dapat betutu sama belida;
Walau intan cahayanya terang,
Tercabut satu pudarlah dia
Pantun Dondang sayang
Dara berbedak menyikat rambut,
Sambil memakai emas bersaga;
Kalau tak hendak intan tercabut,
Kenalah pandai tuan menjaga
Pantun Dondang sayang
Anak itik terenang-renang,
Mengirai bulu tepi telaga;
Apa guna cantik dipandang,
Kalau selalu hendak dijaga.
Pantun Dondang sayang
Bunga siantan tepi telaga,
Ditanam orang bersama pandan;
Kalau intan tidak dijaga,
Diambil orang merana badan.
Pantun Dondang sayang
Nampak kemas Laksamana Bentan,
Hendak pergi tanah seberang;
Walau emas bertatahkan intan,
Perak bercelup jangan dibuang.
Pantun Dondang sayang
Dari Kukup berdayung sampan,
Tuju hala tetap dijaga;
Perak bercelup memang ku simpan,
Sekali sekala ku pakai juga.
Pantun Dondang sayang
Pondok buruk di tepi bendang,
Dicat merah cantik pandangan;
Walaupun buruk mata memandang,
Barang yang murah dihina jangan.
Pantun Dondang sayang
Kain batik dicelup-celup,
Dijual orang ke tanah seberang;
Kan baik simpan perak bercelup,
Jarang-jarang diambil orang.
Pantun Dondang sayang
Minyak kelapa jual di kota,
Banyak dijual terasa letih;
Walaupun apa tuan berkata,
Emas dan intan tetap dipilih.

Pantun Kiasan bertemakan Intan Koleksi pantun Dondang Sayang ini di petik dari buku Dondang Sayang di terbitkan oleh Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) Melaka pada tahun 2004 oleh Hj Mohd. Yasin Ahmad.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Penafian (Disclaimer)

Segala penulisan, pantun & gambar yang disiarkan adalah nukilan & buah fikiran penulis sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak berkepentingan. Penulis tidak mempunyai niat untuk memburuk-burukkan mana-mana pihak sama ada yang hidup atau yang telah meninggal dunia. Sekiranya terdapat kesamaan di mana-mana bahagian blog ini, penulis memohon kemaafan kerana ia tidak disengajakan.

Sekian, terima kasih. Pantun Melayu — Yang Indah itu Bahasa (cc) 2008 - 2013