Pantun Berkasih Sayang Moga Cinta Kekal Abadi

pantun-cinta-kasih-sayang
Pantun Melayu Berkasih sayang
Naik pedati luar kota,
Sekam jerami mengikat padi;
Dalam hati ada cinta,
Semoga bersemi kekal abadi.
— Pantun dijual oleh Jun Kazama pada Oct 30, 2011.
Beraga jerami mencekal padi,
Kalungan selasih bunga melati;
Semoga bersemi kekal abadi,
Junjungan kasih cinta sejati.
— Pantun dibeli oleh Nuar Haruha pada Oct 30, 2011.

Pantun Selamat Malam Sayang

pantun-selamat-malam-selamat-tidur-sayang
Pantun Melayu ucapan selamat malam
Membeli candu di pelabuhan,
Berkebaya sulam gadis idaman;
Sayang rindu kala berjauhan,
Selamat malam kanda budiman
— Pantun dijual oleh Jun Kazama pada Oct 30, 2011.
Dari Selayang berkerusi roda,
Abang Salam menjual icecreams;
Sambut sayang buat adinda,
Selamat malam and sweet dreams.
— Pantun dibeli oleh Nuar Haruha pada Oct 30, 2011.

Pantun Adat Melayu Riau Karya Tenas Effendy

pantun adat melayu riau karya tenas effendy
Pantun Melayu Riau, Adat
Sifat muda suka berjalan,
Hilir mudik mencari rezki;
Adat dijaga sempurna iman ,
Fikiran baik diri terpuji.
Pantun Melayu Riau, Adat
Taat bini setia ke laki,
Hilir mudik seiya sekata;
Adat berdiri sempurna budi,
Hati baik mulia bicara.
Pantun Melayu Riau, Adat
Rusak perisa hilang lazatnya,
Lazat hilang tiada yang makan;
Rusak bangsa hilang adatnya,
Adat hilang binasalah badan.

Pantun Kasih Khazanah Warisan Pantun Melayu dari Manuskrip Schoemann

pantun-cinta-berkasih-sayang
Pantun Kasih
Imbangan burung imbangan,
Berpatuk padi di dalam sia;
Sedang burung ada pasangan,
Apa pula kita manusia
Pantun Kasih
Orang siam berkain siam,
Bersunting lagi bunga kecubung;
Orang diam dikata diam,
Seperti gunting tajam dihujung.
Pantun Kasih, Rindu-rinduan
Pisau raut peraut kalam,
Kalam berisi buah mengkudu;
Air di laut katanya dalam,
Lebih dalam hati yang rindu.

Pantun Seloka Sindiran — Pinggan tak Retak Nasi tak Dingin 2 karya al-lavendari

pantun melayu mata juling penembak tepat

Pantun seloka dan sindiran berikut adalah sambungan dari siri Pinggan tak Retak Nasi tak Dingin[1], sebuah gubahan pantun yang diadaptasikan dari pepatah Melayu sumbangan dari saudara al-lavendari.

Pantun Seloka
Pinggan tak retak,
Nasi tak dingin;
Macamana dia tembak,
Mata dia julin'
Pantun Seloka
Pinggan tak retak,
Nasi tak dingin;
potong pakai kapak,
rejam pakai lembin'
Pantun Seloka
Pinggan tak retak,
Nasi tak dingin;
walau gigi tak dak,
teringin makan dagin'

Lihat juga

  1. Pantun Seloka Sindiran — Pinggan tak retak nasi tak dingin.
pantun-melayu-al-lavendari

Pantun seloka ini sumbangan oleh saudara al-lavendari dari blog pantun beliau Puisi orang tak reti — Pinggan tak retak - 2, Sep, 2009.

Pantun Kiasan dari Koleksi pantun dondang sayang Bertemakan Intan

pantun-dondang-sayang-intan

Dondang Sayang atau disebut juga Dendang Sayang oleh orang Melaka membawa dua pengertian, bila disebut berdendang bermakna bernyanyi untuk bersuka-suka atau menghibur hati. Apabila disebut sayang akan membawa erti kasih iaitu melakukan dengan geraklaku yang lembut dan penuh mesra.

Dari dua pengertian di atas maka bolehlah didefinasikan Dondang Sayang atau Dendang Sayang itu Lagu Kasih atau Nyanyian Kasih. Ini bermakna nyayian Dondang Sayang merupakan satu media atau satu cara untuk menyampaikan isi hati si penyanyi dengan lembut dan penuh mesra.
Hj. Mohd Yassin Ahmad, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia, 2004.

Himpunan Pantun Dondang sayang bertemakan Intan (Kiasan)

Pantun Dondang sayang
Mengail ikan di Pasir Putih,
Batas padi jadi sempadan;
Emas dan intan tetap dipilih,
Hanya menjadi hiasan badan.
Pantun Dondang sayang
Buluh perindu tidak berdahan,
Cendana pula tidak berdaun;
Tak semua batu menjadi intan,
Walaupun lama membilang tahun.

Pantun teka-teki Matanya satu Ekornya Tajam

pantun teka-teki jarum
Pantun teka-teki
Budak-budak bermain batu,
Batu dikira satu persatu;
Badannya lurus bermata satu,
Ekornya tajam apakah itu?
— Pantun teka-teki dijual oleh Abu Syafie Mnoor pada Oct 1, 2011 17:37.
Pantun teka-teki
Sudah lurus tegak sekata,
Indah bersulam harum baunya;
Benang halus ditusuk mata,
Berekor tajam - jarumlah jawapnya.
— Pantun teka-teki dibeli oleh Nuar Haruha pada Oct 10, 2011 21:21.
Mohamed Naim Daipi, Nizqin

Pantun teka-teki ini dipetik dari Koleksi Pantun Teka-teki Klasik karya Mohamed Naim Daipi (Nizqin) dari Angkatan Sasterawan 50, Singapura.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Penafian (Disclaimer)

Segala penulisan, pantun & gambar yang disiarkan adalah nukilan & buah fikiran penulis sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak berkepentingan. Penulis tidak mempunyai niat untuk memburuk-burukkan mana-mana pihak sama ada yang hidup atau yang telah meninggal dunia. Sekiranya terdapat kesamaan di mana-mana bahagian blog ini, penulis memohon kemaafan kerana ia tidak disengajakan.

Sekian, terima kasih. Pantun Melayu — Yang Indah itu Bahasa (cc) 2008 - 2013