Koleksi Pantun Melayu Karya Zakaria Hitam (Pak Zek)

pantun kecewa berendam air mata
Pantun kasih kecewa
Tasik linang di bawah bukit,
Nampak dari atas kota;
Bila dikenang hati nan sakit,
Duduk berendam si air mata.
Pantun kasih kecewa
Buah bidara, buah keranji,
Buah kuran, buah berangan;
Hilang di mata, hilang berganti,
Lepas di tangan dikenang jangan.

Pantun nasihat sindiran
Anak ayam terkedik-kedik,
Terkedik-kedik di bawah tangga;
Anak orang jangan diusik,
Kalau tak sanggup hantar belanja.
Pantun kasih
Dibawa orang ke dalam kota,
Mari dibuat ragi kain;
Tuan seorang cahaya mata,
Ingat tidak kepada yang lain.
Pantun kasih nasihat
Hari ini hari Jumaat,
Hari esok hari Sabtu;
Itu tanda umat Muhammad,
Laksana intan dalam batu.
Pantun kasih kecewa
Hari ini hari Sabtu,
Hari esok hari Ahad;
Laksana intan dalam batu,
Hendak diambil haram tak dapat.
Pantun Melayu
Hari ini hari Ahad,
Hari esok hari Isnin;
Hendak diambil haram tak dapat,
Umpama bayang dalam cermin.
Pantun kasih rindu
Anak todak melanggar perahu,
Habis mati orang di haluan;
Makan tak laju tidur tak mahu,
Hati teringat kepadamu tuan.
Pantun nasihat sindiran
Dari Benta ke Kuala Lipis,
Mari bawa buah bidara;
Berhadapan saja mulutnya manis,
Paling belakang lain bicara.

Pantun Melayu ini dipetik dari Himpunan Pantun Pak Zek diterbitkan Bukuraya Media, Petaling Jaya pada tahun 1991 Karya Budayawan Datuk Haji Zakaria Hitam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Penafian (Disclaimer)

Segala penulisan, pantun & gambar yang disiarkan adalah nukilan & buah fikiran penulis sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak berkepentingan. Penulis tidak mempunyai niat untuk memburuk-burukkan mana-mana pihak sama ada yang hidup atau yang telah meninggal dunia. Sekiranya terdapat kesamaan di mana-mana bahagian blog ini, penulis memohon kemaafan kerana ia tidak disengajakan.

Sekian, terima kasih. Pantun Melayu — Yang Indah itu Bahasa (cc) 2008 - 2013